Tuesday, January 10, 2017

Tubing Sungai Oya / Oyo

Berbeza dengan Goa Pindul, Sungai Oyo adalah penyusuran sungai terbuka, di antara tebing-tebing batuan karst yang tinggi. Harga tiket bagi pengembaraan ini adalah IDR45000. Letaknya pula adalah lebih kurang 1 km dari Goa Pindul.

River Tubing Oyo' tidak terlalu extreme. Pemandu yang sama di Goa Pindul, menemani kami ke sini, setelah dihantar oleh Pajero Pindul.

Panjang sungai ini adalah lebih kurang 1500m pada musim kemarau atau 3-6 km pada musim hujan dan mengambil waktu selama lebih kurang 1-2 jam untuk menempuhnya. Kedalaman air di sungai ini pula hampir sama seperti di Goa Pindul, iaitu sekitar 0.5 - 12 meter.


Di tengah-tengah aliran penyusuran, terdapat air terjun setinggi 2-4 meter. Air terjun ini dikatakan berasal dari air yang mengalir di Goa Pindul. Ramai yang berhenti di lokasi ini untuk mengambil gambar, manakala yang lebih berani, dibenarkan mencuba melompat dari tebing pada ketinggian 4 meter atau 9 meter ke dalam sungai.

Di lokasi inilah kami di'mandi'kan di bawah mata-mata air yang berhampiran bagi merasakan kedinginan air terjun Sungai Oyo ini.


Walaupun air di Sungai Oyo tidak kelihatan jernih seperti di Goa Pindul, suasana di sini lebih saya sukai kerana berada di alam terbuka dengan pemandangan yang lebih indah dan airnya tidak berbau hancing sebagaimana di dalam gua.

Sekiranya anda ke Goa Pindul, jangan lupa ke Sungai Oyo juga.

Sedikit tip: Untuk gambar-gambar yang menarik seperti ini, anda tidak perlu merisikokan telefon bimbit anda. Hanya sediakan IDR200000 untuk mengupah seorang fotografer profesional bagi mengikuti kumpulan anda di sepanjang perjalanan bermula dari Goa Pindul hinggalah ke Sungai Oyo.

No comments: