Saturday, January 07, 2017

Langkah-langkah kiri di Jogja

Buat rakan-rakan backpackers, saya ingin kongsikan sedikit pengalaman yg tidak berapa manis di Jogja akibat tersilap perancangan. Itinerari kami di hari ketiga adalah 3 tempat iaitu Kalibiru, Borobudur dan Merapi.

Rancangan asal kami adalah ke Kalibiru di awal pagi... tapi saat akhir ditukar kepada Merapi untuk pemandangan matahari terbitnya, memandangkan jurupandu wisata kami memberitahu bahawa kami juga boleh melihat pemandangan matahari terbenam di Kalibiru nantinya.

Kami bercadang bertolak dari hotel jam 4 pagi,  namun malangnya salah seorang dari kami terlewat bangun, dan kami akhirnya keluar pada jam 4.45 pagi.

Perjalanan dari kota Jogja ke Merapi dalam 45 minit tapi rupanya di sini jam 5.30 pagi matahari sudah keluar. Sudah rezeki kami hanya untuk nampak matahari terbit dalam perjalanan sahaja.

Sampai ke tempat jeep yang menunggu pada jam 6 pagi, hari sudah pun terang-benderang. Kami dikhabarkan bahawa jeep telahpun menunggu sejak jam 4 pagi. Oleh itu, saya kira kami sepatutnya keluar hotel sekitar jam 3 pagi.  Ini adalah kesilapan kami yang pertama.



Kesilapan kedua kami ialah ke Borobudur waktu tengahari. Memang menempah untuk diri dibakar rentung di atas candi. Kami tiba dari Merapi sekitar jam 11.00  - 11.30 (ingatkan pagi) tetapi betul di bawah tangga candi jam 11.30 terdengar azan zohor... (mak aiii... patutla panas bebenor). Tahu-tahu selesai meronda dan bergambar di sana-sini, kepala terus sakit berdenyut-denyut... huhu. (Padan muka, sudahlah datang tengahari, sombong tak nak sewa payung pula. 5000 rupiah je pun...).



Entah kenapa kami terus tersilap langkah pada hari tersebut. Dari Borobudur, perjalanan adalah lebih kurang 1 jam ke Kalibiru. Menyangkakan waktu matahari terbenam  masih lama, kami berlengah2 ke Kalibiru. Setelah makan tengahari, dalam perjalanan kami singgah ambil gambar di sawah-sawah padi di Kulonprogo. Tiba di Kalibiru jam 4.30 petang, rupanya Kalibiru telahpun tamat waktu operasinya. Maka terpaksalah kami berpatah balik. Kalibiru bertukar menjadi kaligagal dan "lain kali".

Alhamdulillah lain kali kami itu direzekikan pada hari ke 5 dan terakhir kami di Jogja. Pemandangan di Kalibiru sungguh amat memukau dirakamkan dalam gambar-gambar yang diambil oleh fotografer profesional.



Pada yang ingin ke Jogja, saya cadangkan ke Kalibiru dahulu, kemudian Merapi, dan dapatkanlah pemandangan matahari terbenam kalian di Borobudur. (Tetapi mungkin agak sukar juga kerana Borobudur letaknya dalam perjalanan antara Merapi dan Kalibiru.)

Mungkin dengan perkongsian ini, rakan-rakan boleh merancang untuk perjalanan percutian yang lebih lancar dari kami. Aamiin...

No comments: