Monday, January 09, 2017

Goa Pindul

Selain daripada keindahan Pantai Ngobaran, Gunung Kidul turut terkenal dengan pengembaraan alam semulajadinya di Goa Pindul. Gua bawah tanah ini dengan aliran sungai di sepanjang lorong, dapat dinikmati dengan menyusurinya menggunakan pelampung besar (tube) dan jaket keselamatan. Aktiviti ini dinamakan 'Cave Tubing Pindul'.

Harga tiket wisata Goa Pindul adalah IDR35000 seorang. Dengan harga ini, pelancong bukan sahaja dapat kemudahan pinjaman jaket keselamatan dan pelampung, malah mendapat kemudahan pengangkutan wisata yang dipanggil pajero pindul, pemandu tempatan dan perlindungan insurans.

Panjang Goa Pindul adalah lebih kurang 350 meter, oleh itu penyusuran dapat dilakukan dalam tempoh 40-60 minit. Lebar antara dinding pula adalah sekitar 4 meter, manakala, ketinggian dari permukaan air dengan dinding atas di sekitar 5 meter dan kedalaman air sungainya pula adalah sekitar 1-12 meter.

Namun begitu, terdapat salah satu kawasan sempit yang hanya dapat dilalui dengan sebuah pelampung sahaja. Inilah alasan mengapa penyusuran Goa Pindul hanya menggunakan pelampung, bukan sampan.


Sewaktu menyusuri gua ini,  kami dapat melihat beberapa ornamen batu stalagtit dan stalagmit yang menghiasi Goa Pindul. Terdapat juga beberapa batu kristal yang menambah keindahan gua ini.

Kami turut melintasi zon kelawar yang merupakan zon terpanjang di Goa Pindul. Kelawar ini adalah daripada jenis pemakan serangga atau nyamuk yang cukup jinak dan tidak pernah menyerang manusia.


Perjalanan di Goa Pindul, berakhir setelah kami tiba di sebuah kolam besar yang dinamakan Banyu Moto atau Mata Air. Setelah keluar dari sini, para pelancong akan dihantar kembali ke basecamp menggunakan Pajero Pindul.

Walaubagaimanapun, kami dihantar oleh Pajero Pindul  ke destinasi kami yang kedua iaitu Sungai Oyo, yang akan saya ceritakan dalam catatan seterusnya.

No comments: