Showing posts with label aceh. Show all posts
Showing posts with label aceh. Show all posts

Thursday, August 03, 2017

Cemburu

Cemburu itu seperti api
Memakan hati menekan sanubari
Makin dipendam makin membara
Sudahnya kau hancur dibakar api menyala

Wahai muda, usah dilayan rasa curiga
Berdamailah dengan jiwa
Yakini doa yakini diri
Yakini takdir menyebelahi

Yang tenang, pasti menang!

Mima Zohds
030817

Pantai Lampuuk, Aceh

(Didedikasi untuk semua cik-cikpuan yang upload status bergambar: "ini suami saya, jangan ajak dia ke karaoke." 😅)



Sunday, February 19, 2017

Apa yang menarik di Muzium Tsunami Aceh


Dibina sebagai 'tribute' untuk 170000 mangsa tsunami 2004 di Aceh, muzium tsunami mengukir nama setiap mangsa di dinding salah satu ruang dalamannya. 

Pengalaman berdiri di tengah-tengah ruang bulat yang umpama serombong yang amat besar ini sungguh menarik hati. Terasa nama-nama ini seolah-olah bergerak dalam satu putaran menuju ke atas di mana terdapat ukiran nama Allah di tengah-tengah bulatan yang bercahaya di atas, seolah-olah mengingatkan kita bahawa siapa pun kita, akhirnya destinasi kita tetap satu, iaitu menuju ke arah pertemuan denganNya. 


Tuesday, January 17, 2017

Masjid Baiturrahim Aceh


Masjid Baiturrahim terkenal sebagai satu-satunya bangunan yang masih kukuh berdiri di saat Ulee Lheue yang terletak di pinggir laut menjadi padang jarak padang terkukur setelah dilanda ombak tsunami setinggi 21 meter pada 26 Disember 2004.

Masjid ini amat istimewa bagi masyarakat Aceh bukan hanya kerana peristiwa ini, tetapi kerana nilai sejarahnya yang panjang. Ia adalah antara masjid peninggalan Kesultanan Aceh yang didirikan pada abad ke 17.

Masjid asal yang dibina menggunakan kayu ini, seterusnya direnovasi oleh pemerintah Belanda pada tahun 1923 dengan hanya susunan batu-bata dan simen tanpa menggunakan tulang penyangga daripada besi. Maka hakikat bahawa hanya 20% daripada bahagian masjid ini yang rosak akibat tsunami yang dahsyat itu menjadi satu keajaiban.

Kami bertuah kerana bertemu dengan siak, bilal dan imam masjid ketika mendirikan solat asar di sini. Mereka menegur dan melayan kami dengan amat baik. Kami dibawa ke galeri yang memaparkan gambar-gambar, juga tayangan video saat gempa bumi dan tsunami. Dengan sabar, mereka menerangkan dan melayan pertanyaan-pertanyaan kami.

Di galeri yang sama, pihak masjid menjual barangan cenderahati kepada pengunjung. Sekiranya anda ingin membeli cenderahati seperti rantai kunci, magnet peti sejuk, topi, kopiah atau beg bersulam Aceh yang menarik, saya cadangkan anda beli di sini. Bukan sahaja anda dapat membantu kewangan pihak masjid, tetapi harga yang ditawarkan adalah lebih murah daripada semua kedai-kedai cenderahati lain di Banda Aceh yang kami kunjungi keesokannya.

Kami meninggalkan masjid ini seusai solat maghrib pada malam Awal Muharram  dengan rasa terharu kerana terasa dimuliakan sebagai tetamu di masjid yang bersejarah lagi bertuah ini.

Wednesday, January 11, 2017

Puncak Guerute, Aceh

Saya ke Aceh lebih awal daripada Jogja dan Padang, tetapi tidak terasa untuk bercerita tentangnya. Ada memori luka di Hotel Hip Hope Aceh (not recommended to anyone at all) yang mengambil masa untuk saya lupakan.

Tetapi harus saya akui bahawa pemandangan laut yang terindah yang saya pernah lihat seumur hidup saya adalah pemandangan dari Puncak Gunung Guerute ini. Bayangkan anda dapat melihat sekumpulan ikan yang berpusar di tengah-tengah laut, sekumpulan kerbau melintasi sungai di pinggir pantai, kebun-kebun seumpama dalam permainan FarmVille, gunung-ganang yang indah berbalam-balam dari kejauhan - semuanya dari puncak ini.


Sekiranya anda bukan pendaki, usah bimbang kerana puncak ini tidak perlu didaki menggunakan tulang empat kerat anda. Boleh saja sampai di sini menaiki kenderaan.

Terdapat banyak warung-warung kopi di tebing-tebing gunung ini yang menawarkan anda tempat duduk untuk anda menikmati pemandangannya yang indah sambil minum-minum. Kami memilih menikmati air kelapa segar berbanding kopi Aceh yang terkenal itu.

Apa yang menyedihkan adalah sikap tidak endah pengusaha-pengusaha warung kopi di sini yang membuang sampah-sarap dari warung mereka terus ke tebing di pinggir warung. Rasa tersayat hati saya melihat betapa mereka tidak mensyukuri keindahan alam yang telah dikurniakan kepada mereka dengan sewenang-wenangnya mengotorinya.


Namun begitu, sekiranya anda hanya berpeluang untuk menziarahi satu tempat sahaja di Aceh, inilah tempat yang saya pasti anda akan rasa berbaloi mengunjunginya.