Ada rakan-rakan yang bertanya, berapakah jumlah wang yang diperlukan untuk ke Jogja? Agak sukar sebenarnya untuk menganggarkan bajet secara tepat di sana. Puncak Kalibiru di daerah Kulonprogo, yang seumpama puncak tinjau buat salah satu taman negara di Jawa Tengah ini adalah contohnya.
Di sebalik foto-foto yang memukau di Kalibiru, kisahnya adalah tiada tiket masuk dikenakan untuk ke kawasan ini, walaupun bajet kami untuk tiket di sini adalah IDR 10,000. Walaubagaimanapun, anda perlu membayar sekiranya anda ingin menaiki spot-spot yang disediakan bagi yang ingin merakamkan foto di sini. Terdapat 6 spot foto yang disediakan dengan harga yang berbeza.
Spot yang paling popular adalah Spot Foto Panggung yang boleh memuatkan sehingga 8 orang dan sesuai untuk foto kumpulan, dan Spot Foto 1 untuk foto individu atau berpasangan. Ini adalah kerana, untuk ke puncak ini dari tempat parkir, anda perlu mendaki jalan yang amat curam - oleh itu ramai yang memilih untuk bergambar di kedua-dua spot ini kerana jaraknya yang paling hampir daripada pintu masuk. Mereka sanggup menunggu sehingga dua jam untuk giliran masing-masing.
Spot Panggung |
Spot Foto 1 |
Seperti yang dirakamkan di dalam gambar-gambar ini, spot-spot foto ini merupakan pelantar-pelantar yang dibina tinggi di pinggir-pinggir tebing puncak Kalibiru. Anda perlu memanjat tangga kayu yang tegak untuk ke atas pelantar-pelantar tersebut. Walaubagaimanapun, anda tidak perlu bimbang tentang keselamatan anda kerana petugas-petugas yang ada akan memastikan tali keselamatan diikat kemas di tubuh anda sebelum anda disuruh naik.
Krew-krew yang membantu memastikan keselamatan anda. Khemah adalah tempat untuk mereka memindahkan gambar digital ke telefon android anda. |
Nah... sekarang pasti anda faham kenapa sukar untuk menyediakan bajet dengan kos-kos tersembunyi seperti ini. (Terkagum juga betapa bijaknya rakyat Indonesia mencipta peluang pendapatan. )
No comments:
Post a Comment