Tuesday, January 17, 2017

Masjid Baiturrahim Aceh


Masjid Baiturrahim terkenal sebagai satu-satunya bangunan yang masih kukuh berdiri di saat Ulee Lheue yang terletak di pinggir laut menjadi padang jarak padang terkukur setelah dilanda ombak tsunami setinggi 21 meter pada 26 Disember 2004.

Masjid ini amat istimewa bagi masyarakat Aceh bukan hanya kerana peristiwa ini, tetapi kerana nilai sejarahnya yang panjang. Ia adalah antara masjid peninggalan Kesultanan Aceh yang didirikan pada abad ke 17.

Masjid asal yang dibina menggunakan kayu ini, seterusnya direnovasi oleh pemerintah Belanda pada tahun 1923 dengan hanya susunan batu-bata dan simen tanpa menggunakan tulang penyangga daripada besi. Maka hakikat bahawa hanya 20% daripada bahagian masjid ini yang rosak akibat tsunami yang dahsyat itu menjadi satu keajaiban.

Kami bertuah kerana bertemu dengan siak, bilal dan imam masjid ketika mendirikan solat asar di sini. Mereka menegur dan melayan kami dengan amat baik. Kami dibawa ke galeri yang memaparkan gambar-gambar, juga tayangan video saat gempa bumi dan tsunami. Dengan sabar, mereka menerangkan dan melayan pertanyaan-pertanyaan kami.

Di galeri yang sama, pihak masjid menjual barangan cenderahati kepada pengunjung. Sekiranya anda ingin membeli cenderahati seperti rantai kunci, magnet peti sejuk, topi, kopiah atau beg bersulam Aceh yang menarik, saya cadangkan anda beli di sini. Bukan sahaja anda dapat membantu kewangan pihak masjid, tetapi harga yang ditawarkan adalah lebih murah daripada semua kedai-kedai cenderahati lain di Banda Aceh yang kami kunjungi keesokannya.

Kami meninggalkan masjid ini seusai solat maghrib pada malam Awal Muharram  dengan rasa terharu kerana terasa dimuliakan sebagai tetamu di masjid yang bersejarah lagi bertuah ini.

Wednesday, January 11, 2017

Puncak Guerute, Aceh

Saya ke Aceh lebih awal daripada Jogja dan Padang, tetapi tidak terasa untuk bercerita tentangnya. Ada memori luka di Hotel Hip Hope Aceh (not recommended to anyone at all) yang mengambil masa untuk saya lupakan.

Tetapi harus saya akui bahawa pemandangan laut yang terindah yang saya pernah lihat seumur hidup saya adalah pemandangan dari Puncak Gunung Guerute ini. Bayangkan anda dapat melihat sekumpulan ikan yang berpusar di tengah-tengah laut, sekumpulan kerbau melintasi sungai di pinggir pantai, kebun-kebun seumpama dalam permainan FarmVille, gunung-ganang yang indah berbalam-balam dari kejauhan - semuanya dari puncak ini.


Sekiranya anda bukan pendaki, usah bimbang kerana puncak ini tidak perlu didaki menggunakan tulang empat kerat anda. Boleh saja sampai di sini menaiki kenderaan.

Terdapat banyak warung-warung kopi di tebing-tebing gunung ini yang menawarkan anda tempat duduk untuk anda menikmati pemandangannya yang indah sambil minum-minum. Kami memilih menikmati air kelapa segar berbanding kopi Aceh yang terkenal itu.

Apa yang menyedihkan adalah sikap tidak endah pengusaha-pengusaha warung kopi di sini yang membuang sampah-sarap dari warung mereka terus ke tebing di pinggir warung. Rasa tersayat hati saya melihat betapa mereka tidak mensyukuri keindahan alam yang telah dikurniakan kepada mereka dengan sewenang-wenangnya mengotorinya.


Namun begitu, sekiranya anda hanya berpeluang untuk menziarahi satu tempat sahaja di Aceh, inilah tempat yang saya pasti anda akan rasa berbaloi mengunjunginya.


Hutan Pinus Jogja (Part 2/2)

Suasana di Hutan Pinus Imogiri memang menarik hati. Tidak perlu tunggu sehingga jauh ke dalam, di sekitar kawasan pintu masuknya saja, rakan-rakan saya sudah teruja untuk bergambar. Saya pula, pastilah sangat teruja mengambil gambar persekitaran. Agak lama juga kami ber'posing-posing' di celah-celah pokok berhampiran pintu masuk yang meriah dengan pengunjung itu.

Sekiranya tidak kerana seorang rakan yang bersungguh-sungguh mengajak kami 'hiking' di sini, pasti kami akan terlepas pandang dan tidak akan sedar kewujudan satu lagi tarikan di hutan ini iaitu rumah-rumah pokoknya. Letaknya di atas kawasan bukit yang agak jauh sedikit dan tidak kelihatan dari kawasan pintu masuk atau di bahagian hadapan hutan pinus ini.

 

Rumah pokok ini sedikit-sebanyak mengubat hati kami yang kecewa kerana tidak dapat masuk ke Kalibiru pada hari yang sebelumnya. (Sudah saya ceritakan dalam catatan tentang Langkah-Langkah Kiri di Jogja).


Hutan Pinus Jogja (Part 1/2)


Hutan pinus ini adalah antara tempat-tempat popular yang sentiasa ada dalam senarai backpackers dari Malaysia.

Jika di 'google', keliru juga kerana ada pelbagai nama yang merujuk kepada hutan ini. Hutan Pinus Imogiri, Hutan Pinus Mangunan, Hutan Pinus Dlingo, dan Hutan Pinus Bantul - semuanya merujuk kepada hutan yang sama. Tidak hairanlah kerana hutan ini berada di Desa Mangunan, Kecamatan Dlingo, Kabupaten Bantul dan amat hampir juga lokasinya dengan Imogiri.

Walaupun hutan ini diwartakan sebagai hutan lindung, ia bukanlah hutan asli di Indonesia.  Hutan di kawasan Mangunan ini asalnya adalah sebuah tanah tandus yang kemudian ditanam semula - bukan hanya pokok pinus, malah jenis pohon lain juga seperti mahoni, akasia, kemiri dan kayu putih turut ditanam di kawasan seluas 500 hektar ini.

Hasilnya tidak sia-sia memandangkan kini hutan pinus menjadi tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar Indonesia. Peminat-peminat fotografi dan penggemar-penggemar swa-foto pasti tidak akan melepaskan peluang berkunjung ke hutan yang amat bersih dan terjaga dengan rapi ini.

Ia juga popular sebagai lokasi untuk sesi fotografi pra-perkahwinan. Pohon pinus yang berbatang lurus dikatakan adalah lambang cinta setia yang tidak bercabang-cabang.

Tiket masuk? Percuma. Hanya perlu bayar wang parkirnya saja sebanyak IDR10,000.

Toilet Kejujuran

Tandas di Hutan Pinus yang sangat bersih.

Salah satu keistimewaan Jogja ialah tandas-tandasnya yang dinamakan "Toilet Kejujuran". Di kebanyakan tempat di Jogja, toilet kejujurannya amat bersih, malah yang terbersih pernah saya temui di Indonesia.

Tandas di basecamp Merapi Cruise 
Mengapa ia dinamakan sebegini? Kerana tidak ada yang memungut wang dari anda. Semuanya bergantung kepada kejujuran anda untuk memasukkan wang ke dalam tabung yang disediakan. Bayaran standard untuk menggunakan toilet kejujuran adalah IDR2000. Oleh itu saya dan rakan-rakan saya akan menyisihkan setiap keping duit yang bernilai IDR2000 ke dalam sampul yang berasingan bagi tujuan ini.

Walaubagaimanapun, harus saya nyatakan juga yang tidak semua toilet kejujuran di Jogja sangat bersih, contohnya di kawasan parkir Kalibiru yang tidak begitu memuaskan. Demikian juga di Goa Pindul, anda harus pandai memilih kedai mana yang menjaga toilet-toilet kejujurannya dengan lebih baik.

Tiga toilet kejujuran paling bersih (tip top 👍) di Jogja adalah semua yang tertera di sini.

Tandas di Bunker Kaliadem


Tuesday, January 10, 2017

Cruise Gunung Merapi, Jogja

TOYOTA LAND CRUISER MERAPI menawarkan sewaan jeep Land Cruiser lengkap dengan pemandu kepada para pelancong sebagai kemudahan untuk mengelilingi kawasan lereng Merapi. Kami menyewa dua buah jeep, setiap satu dengan bayaran IDR450k dan dikongsi bertiga.


Dari basecamp, kami terus dibawa menuju ke bunker Kaliadem, tetapi dalam perjalanan, sempat juga kami berhenti di spot foto yang menarik untuk menikmati pemandangan Gunung Merapi.

Bunker merupakan ruang lindung darurat yang dibina di Desa Kaliadem yang jaraknya 4.5km dari puncak Merapi sebagai kemudahan bagi pengunjung objek wisata di kawasan Merapi untuk berlindung sekiranya terjadi letusan. Dikhabarkan semasa letusan Merapi yang terakhir, terdapat mangsa yang mati terperangkap di sini kerana bunker ini hanya dapat melindungi mangsa daripada letusan debu, bukan letusan lava.

Dari Kaliadem, kami dibawa melihat batu alien, iaitu batu yang terlontar dari Merapi dan dibawa aliran lahar material sampai ke Kampung Jambu.  Uniknya batu ini mirip dengan wajah manusia, lengkap dengan mata, hidung, mulut dan telinga. Oleh itu penduduk setempat menggelarnya sebagai batu alien.



Akhir sekali, kami dibawa singgah ke Kampung Petung, iaitu kampung paling atas di lereng Merapi, 7 km daripada puncak, sebelum ianya musnah dalam letusan dahsyat yang terakhir. Kami mengunjungi muzium mini 'Omahku Memoriku', yang merupakan bekas rumah warga yang terkena terjangan awan panas yang melanda kampung ini. Di sini kami melihat sisa letusan Gunung Merapi seperti gelas, botol, peralatan rumah, tulang-tulang sapi dan yang paling utama adalah jam erupsi - detik jam terhenti sebaik sahaja letusan terjadi.

Sekiranya anda ke Jogja, jangan lepaskan peluang untuk ke Merapi menggunakan khidmat Land Cruiser. Ia pasti menjadi satu pengalaman yang tidak akan anda lupakan.

Jogja Istimewa. 😉

Aiskrim Pedas

Pernahkah anda merasa aiskrim yang pedas? Sekiranya belum, sewaktu di Goa Pindul, jangan lepaskan peluang untuk merasa rojak aiskrim ini.


Ia merupakan campuran hirisan buah-buahan seperti rojak buah, lengkap dengan hirisan cili padi, yang kemudian diletakkan aiskrim di atasnya. Bayangkanlah apabila aiskrim bercampur dengan rojak buah yang pedas ini, rasanya sungguh umphhhh 👍👍👍.


Terkagum sekali lagi dengan kekreatifan peniaga di sini - betapa mereka sentiasa berusaha mencipta kelainan (Unique Selling Point) biarpun hanya menjual aiskrim.

Tubing Sungai Oya / Oyo

Berbeza dengan Goa Pindul, Sungai Oyo adalah penyusuran sungai terbuka, di antara tebing-tebing batuan karst yang tinggi. Harga tiket bagi pengembaraan ini adalah IDR45000. Letaknya pula adalah lebih kurang 1 km dari Goa Pindul.

River Tubing Oyo' tidak terlalu extreme. Pemandu yang sama di Goa Pindul, menemani kami ke sini, setelah dihantar oleh Pajero Pindul.

Panjang sungai ini adalah lebih kurang 1500m pada musim kemarau atau 3-6 km pada musim hujan dan mengambil waktu selama lebih kurang 1-2 jam untuk menempuhnya. Kedalaman air di sungai ini pula hampir sama seperti di Goa Pindul, iaitu sekitar 0.5 - 12 meter.


Di tengah-tengah aliran penyusuran, terdapat air terjun setinggi 2-4 meter. Air terjun ini dikatakan berasal dari air yang mengalir di Goa Pindul. Ramai yang berhenti di lokasi ini untuk mengambil gambar, manakala yang lebih berani, dibenarkan mencuba melompat dari tebing pada ketinggian 4 meter atau 9 meter ke dalam sungai.

Di lokasi inilah kami di'mandi'kan di bawah mata-mata air yang berhampiran bagi merasakan kedinginan air terjun Sungai Oyo ini.


Walaupun air di Sungai Oyo tidak kelihatan jernih seperti di Goa Pindul, suasana di sini lebih saya sukai kerana berada di alam terbuka dengan pemandangan yang lebih indah dan airnya tidak berbau hancing sebagaimana di dalam gua.

Sekiranya anda ke Goa Pindul, jangan lupa ke Sungai Oyo juga.

Sedikit tip: Untuk gambar-gambar yang menarik seperti ini, anda tidak perlu merisikokan telefon bimbit anda. Hanya sediakan IDR200000 untuk mengupah seorang fotografer profesional bagi mengikuti kumpulan anda di sepanjang perjalanan bermula dari Goa Pindul hinggalah ke Sungai Oyo.

Pajero Pindul


Beginilah rupa sebenar Pajero Pindul. Bukan Pajero yang anda sangkakan, ya tak? 'PaJero' adalah singkatan kepada frasa dalam bahasa Jawa, "Panas njobo (luar) njero (dalam)", yang merujuk kepada kepanasan berada dalam kenderaan ini.

P/S: Rasa glamer duduk di belakang lori dan melintasi rumah-rumah di perkampungan ini. 😅😅😅


Monday, January 09, 2017

Goa Pindul

Selain daripada keindahan Pantai Ngobaran, Gunung Kidul turut terkenal dengan pengembaraan alam semulajadinya di Goa Pindul. Gua bawah tanah ini dengan aliran sungai di sepanjang lorong, dapat dinikmati dengan menyusurinya menggunakan pelampung besar (tube) dan jaket keselamatan. Aktiviti ini dinamakan 'Cave Tubing Pindul'.

Harga tiket wisata Goa Pindul adalah IDR35000 seorang. Dengan harga ini, pelancong bukan sahaja dapat kemudahan pinjaman jaket keselamatan dan pelampung, malah mendapat kemudahan pengangkutan wisata yang dipanggil pajero pindul, pemandu tempatan dan perlindungan insurans.

Panjang Goa Pindul adalah lebih kurang 350 meter, oleh itu penyusuran dapat dilakukan dalam tempoh 40-60 minit. Lebar antara dinding pula adalah sekitar 4 meter, manakala, ketinggian dari permukaan air dengan dinding atas di sekitar 5 meter dan kedalaman air sungainya pula adalah sekitar 1-12 meter.

Namun begitu, terdapat salah satu kawasan sempit yang hanya dapat dilalui dengan sebuah pelampung sahaja. Inilah alasan mengapa penyusuran Goa Pindul hanya menggunakan pelampung, bukan sampan.


Sewaktu menyusuri gua ini,  kami dapat melihat beberapa ornamen batu stalagtit dan stalagmit yang menghiasi Goa Pindul. Terdapat juga beberapa batu kristal yang menambah keindahan gua ini.

Kami turut melintasi zon kelawar yang merupakan zon terpanjang di Goa Pindul. Kelawar ini adalah daripada jenis pemakan serangga atau nyamuk yang cukup jinak dan tidak pernah menyerang manusia.


Perjalanan di Goa Pindul, berakhir setelah kami tiba di sebuah kolam besar yang dinamakan Banyu Moto atau Mata Air. Setelah keluar dari sini, para pelancong akan dihantar kembali ke basecamp menggunakan Pajero Pindul.

Walaubagaimanapun, kami dihantar oleh Pajero Pindul  ke destinasi kami yang kedua iaitu Sungai Oyo, yang akan saya ceritakan dalam catatan seterusnya.

Hikayat Pantai Ngobaran, Jogja

Menelusuri jalan berturap daripada kawasan pura di pinggir tebing batu karang Pantai Ngobaran, saya ternampak sebuah perkampungan yang kelihatan damai nun di sebalik bukit.

Terdapat sebuah pantai yang jauh berbeza daripada yang saya lihat di awal ketibaan, dengan kawasan pasir halus yang landai bagaikan memanggil-manggil untuk saya terus melangkahkan kaki ke sana.



Saya turut tertarik dengan pemandangan bukit-bukit berbatu si sekeliling saya yang dihiasi oleh pokok-pokok pandan yang menjadikan apa yang saya lihat sangat unik di mata saya.


Tiba-tiba saya terlihat sesuatu yang menyebabkan saya dengan jiwa tergedik-gedik menukar haluan... agaknya apakah 'sesuatu' itu?

Bukan Rangga yang mengalihkan tumpuan saya daripada ke pantai landai berpasir halus di perkampungan Ngobaran... tetapi sebaris anak tangga yang kelihatan di kiri jalan menuju ke puncak bukit di pinggir tebing Pantai Ngobaran kerana ia menjanjikan saya peluang untuk ber'hiking' di sini.

Tiba di puncak, saya ternampak sebuah runtuhan rumah lama. Diceritakan orang terdapat sebuah kotak batu yang dikelilingi pagar kayu abu-abu di sini yang merupakan tempat Prabu Brawijaya V membakar diri.

Menurut cerita masyarakat setempat, Prabu Brawijaya V merupakan keturunan terakhir kerajaan Majapahit. Beliau melarikan diri dari istana bersama dua orang isterinya iaitu Bondang Surati (isteri pertama) dan Dewi Lowati (isteri kedua) kerana enggan diislamkan oleh puteranya Raden Fatah, Raja Demak I.

Pelarian tersebut akhirnya tiba di Pantai Ngobaran dan menemui jalan buntu. Akhirnya raja tersebut memutuskan untuk membakar diri, lantas bertanya kepada kedua-dua isterinya, “Wahai isteriku ! Siapa di antara kalian yang paling besar rasa cintanya kepadaku?”. Dewi Lowati menjawab, “ Cinta saya kepada tuan sebesar gunung”, manakala Bondan Surati pula menjawab, “Cinta saya kepada tuan sama seperti kuku hitam, setiap kali di potong pasti akan tumbuh kembali. Jika cinta itu hilang, maka cinta itu akan tumbuh semula."


Berdasarkan jawapan isteri-isterinya, Sang Prabu lantas menarik tangan Dewi Lowati lalu terjun ke dalam api yang membara sehingga keduanya mati terbakar. Mengapakah Dewi Lowati yang dipilih untuk mati bersamanya? Ini adalah kerana rasa cinta isterinya yang kedua ini lebih kecil dibandingkan dengan isterinya yang pertama.

Dari peristiwa inilah tempat ini dinamakan "Ngobaran" yang berasal dari kata "kobaran" yang bermaksud terbakar atau membakar diri.

Manakala, pemandangan yang dapat dilihat dari puncak ini - saya pasti anda setuju bahawa keindahannya tidak dapat dinafikan sama sekali. Pendakian yang berbaloi dan menjadikan pantai ini begitu istimewa dalam ingatan saya.





Sunday, January 08, 2017

Pantai Ngobaran, Jogja

Rancangan asal kami adalah untuk ke Pantai Timang, yg viral di kalangan pengembara Malaysia dengan kewujudan gondola buatan penduduk tempatan. Tetapi memandangkan untuk ke pantai tersebut, kami difahamkan bahawa kami perlu menaiki gojek (motorsikal) yang mengenakan bayaran sebanyak IDR50000, dan untuk menaiki gondola itu pula memerlukan tambahan sebanyak IDR200000, di mana jumlahnya sudah hampir menyamai harga tiket ke Candi Borobudur, kami membatalkan hasrat tersebut. (Cheapskate la katakan... 😅)

Sebaliknya, jurupandu wisata kami menyarankan agar kami menuju ke Pantai Ngobaran yang terletak di Gunung Kidul. Pantai ini merupakan salah satu tempat tumpuan pelancong yang menawarkan keindahan alam yang mempesona dengan gulungan ombak yang kelihatan agak ganas di tebing barisan batu karang, disertai deretan pohon pandan lautnya.

Pantai Ngobaran juga dikenali sebagai tempat ritual penganut agama dan kepercayaan tertentu. Di kawasan ini anda dapat melihat tempat peribadatan seperti pura yang menghadap ke laut. Terdapat pula beberapa arca yang sering digunakan untuk tempat upacara keagamaan tertentu.

Apa yang menarik di sini, sebagaimana di tempat-tempat wisata lain di Jogja adalah kekreatifan penduduknya dalam usaha menjana pendapatan. Selain daripada gerai-gerai makan yang menawarkan makanan laut, terdapat anak-anak muda yang menawarkan khidmat mengambil foto digital untuk para tamu. Hanya IDR15000 (RM5) dan anda boleh memilih 3 gambar yang paling anda sukai di antara kesemua yang anda gayakan di hadapan kamera.


Benarlah kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.