Sunday, January 08, 2017

Pantai Ngobaran, Jogja

Rancangan asal kami adalah untuk ke Pantai Timang, yg viral di kalangan pengembara Malaysia dengan kewujudan gondola buatan penduduk tempatan. Tetapi memandangkan untuk ke pantai tersebut, kami difahamkan bahawa kami perlu menaiki gojek (motorsikal) yang mengenakan bayaran sebanyak IDR50000, dan untuk menaiki gondola itu pula memerlukan tambahan sebanyak IDR200000, di mana jumlahnya sudah hampir menyamai harga tiket ke Candi Borobudur, kami membatalkan hasrat tersebut. (Cheapskate la katakan... 😅)

Sebaliknya, jurupandu wisata kami menyarankan agar kami menuju ke Pantai Ngobaran yang terletak di Gunung Kidul. Pantai ini merupakan salah satu tempat tumpuan pelancong yang menawarkan keindahan alam yang mempesona dengan gulungan ombak yang kelihatan agak ganas di tebing barisan batu karang, disertai deretan pohon pandan lautnya.

Pantai Ngobaran juga dikenali sebagai tempat ritual penganut agama dan kepercayaan tertentu. Di kawasan ini anda dapat melihat tempat peribadatan seperti pura yang menghadap ke laut. Terdapat pula beberapa arca yang sering digunakan untuk tempat upacara keagamaan tertentu.

Apa yang menarik di sini, sebagaimana di tempat-tempat wisata lain di Jogja adalah kekreatifan penduduknya dalam usaha menjana pendapatan. Selain daripada gerai-gerai makan yang menawarkan makanan laut, terdapat anak-anak muda yang menawarkan khidmat mengambil foto digital untuk para tamu. Hanya IDR15000 (RM5) dan anda boleh memilih 3 gambar yang paling anda sukai di antara kesemua yang anda gayakan di hadapan kamera.


Benarlah kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

No comments: