Tuesday, January 17, 2017

Masjid Baiturrahim Aceh


Masjid Baiturrahim terkenal sebagai satu-satunya bangunan yang masih kukuh berdiri di saat Ulee Lheue yang terletak di pinggir laut menjadi padang jarak padang terkukur setelah dilanda ombak tsunami setinggi 21 meter pada 26 Disember 2004.

Masjid ini amat istimewa bagi masyarakat Aceh bukan hanya kerana peristiwa ini, tetapi kerana nilai sejarahnya yang panjang. Ia adalah antara masjid peninggalan Kesultanan Aceh yang didirikan pada abad ke 17.

Masjid asal yang dibina menggunakan kayu ini, seterusnya direnovasi oleh pemerintah Belanda pada tahun 1923 dengan hanya susunan batu-bata dan simen tanpa menggunakan tulang penyangga daripada besi. Maka hakikat bahawa hanya 20% daripada bahagian masjid ini yang rosak akibat tsunami yang dahsyat itu menjadi satu keajaiban.

Kami bertuah kerana bertemu dengan siak, bilal dan imam masjid ketika mendirikan solat asar di sini. Mereka menegur dan melayan kami dengan amat baik. Kami dibawa ke galeri yang memaparkan gambar-gambar, juga tayangan video saat gempa bumi dan tsunami. Dengan sabar, mereka menerangkan dan melayan pertanyaan-pertanyaan kami.

Di galeri yang sama, pihak masjid menjual barangan cenderahati kepada pengunjung. Sekiranya anda ingin membeli cenderahati seperti rantai kunci, magnet peti sejuk, topi, kopiah atau beg bersulam Aceh yang menarik, saya cadangkan anda beli di sini. Bukan sahaja anda dapat membantu kewangan pihak masjid, tetapi harga yang ditawarkan adalah lebih murah daripada semua kedai-kedai cenderahati lain di Banda Aceh yang kami kunjungi keesokannya.

Kami meninggalkan masjid ini seusai solat maghrib pada malam Awal Muharram  dengan rasa terharu kerana terasa dimuliakan sebagai tetamu di masjid yang bersejarah lagi bertuah ini.

No comments: