Monday, June 19, 2017

Jalur pendakian Gunung Bromo


Bagi rakan-rakan yang ingin mencuba mendaki gunung tetapi merasa ianya sesuatu yang sukar dan tidak mungkin dilakukan, saya cadangkan anda bermula dengan mendaki Gunung Bromo di Jawa Timur. 

Gambar ini menunjukkan jalur pendakian Gunung Bromo secara keseluruhan. Para pengunjung akan dibawa menaiki jeep sehingga ke sempadan yang dibenarkan di tengah-tengah lautan pasir, beberapa ratus meter sebelum tiba di candi Hindu yang kelihatan dalam gambar, di kaki gunung ini. 

Dari kawasan meletak jeep ini, pengunjung boleh memilih untuk menaiki kuda (dengan bayaran) atau berjalan kaki sahaja. Selepas melintasi candi, terdapat pasar menjual makanan dan cenderahati di tengah-tengah perjalanan sebelum anda mula mendaki. 

Sekiranya berkuda, anda terpaksa turun dan berjalan kaki bermula dari kawasan bertembok batu dalam gambar. Kuda dan pemandunya akan menunggu anda di sini sehingga anda turun semula. Anda perlu berjalan menuju ke tangga dan mendaki 250 anak tangganya untuk sampai ke puncak bibir kawah.

Pendakian ini sebenarnya amat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja walaupun anda tidak pernah memanjat gunung sebelum ini. Selamat mencuba! Anda pasti boleh! 

Tuesday, June 13, 2017

Mencari "thrill" di Puncak Bromo

Tebing kawah Bromo

Kawah Bromo amat luas. Jejarinya jika tidak silap sekitar 4 km. Tidak muat untuk merakamkan pemandangan keseluruhan mulut kawah dalam satu gambar. Gambar di atas hanyalah sepertujuh atau seperlapan daripada keseluruhan lingkaran tebing kawah, yang juga dipanggil kaldera.

Daripada gambar di atas juga, kelihatan puncak lingkaran tebing ini yang agak nipis, tetapi dapat dilihat juga dua bentuk tubuh yang halus di bahagian tertinggi di kaldera ini. Saat terlihat mereka, saya yang berada di "viewing point" berhampiran tangga di pinggir kawah, terus teruja dan membuat keputusan mahu ke sana juga. Maka berjalanlah saya ke sana.

Puncak tertinggi kaldera
Nah... dari dekat, taklah nampak nipis sangat kan tebing ni? Tapi sebenarnya 'trekking path'nya yang boleh dilalui hanya selebar dua hingga tiga kaki sahaja, dan kedudukannya yang tidak rata, malah menyendeng, agak menyukarkan pendakian. Apatah lagi dengan tanahnya yang berupa pasir debu volkano yang licin... sekiranya tapak kasut anda kurang cengkaman, usah dicuba laluan ini.

Bagi yang ada masalah gayat seperti saya lebihlah lagi cabarannya. Pandang kiri gaung, pandang kanan pun gaung. Yang terlintas cumalah andai tergelincir, biarlah jatuh ke kiri, bukan ke kanan. Dua-dua pun pasti mati tapi sekurang-kurangnya di kiri penghujungnya adalah lautan pasir, yang memungkinkan mayat saya ditemui. Di kanan tebingnya lebih curam dan pastilah saya akan terus jatuh ke kawah yang sangat dalam yang dasarnya tidak kelihatan dan tak mungkin ada sesiapa yang mampu menjejaki mayat saya.

Pendakian naik dan turun dari puncak kaldera ini ke 'viewing point' asal, mengingatkan saya tentang titian assirat. Sekiranya titian saya nanti selebar ini dan bukan senipis rambut dibelah tujuh pun, pastinya saya sudah amat bersyukur.

Gunung Batok, dan "viewing point" yang ramai orang adalah di tebing di hadapan gunung tersebut. 

Di sebalik kesukarannya, saya bersyukur melakukannya. Dari puncak tersebut pemandangan amatlah indah. Kelihatan Gunung Batok yang tersergam megah, juga lautan pasir dengan struktur yang indah mengkagumkan.

Lautan Pasir yang unik di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. 

Mendaki Bromo adalah pengalaman yang luar biasa. Tidak hairanlah ia disenaraikan di antara 10 perkara utama yang patut anda lakukan di Pulau Jawa!

Monday, June 12, 2017

Kawah Bromo

Beginilah pemandangan di hujung pendakian berkuda yang disambung dengan menapak 250 anak tangga ke puncak Bromo.

Sebagai sebuah pusat pelancongan, status Bromo sebagai gunung berapi yang masih aktif pastinya menarik hati mereka yang berjiwa kembara... "ada 'thrill' gitew". Gunung ini termasuk dalam kawasan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru,
di mana secara fizikal, ia terletak di tengah-tengah Kaldera Tengger dikelilingi lautan pasir seluas sekitar 10 kilometer persegi.

Kawahnya pula mempunyai diameter ± 800 meter (utara-selatan) dan ± 600 meter (timur-barat). Manakala tebing di sekeliling kawah ini atau puncak lingkaran kaldera Bromo dengan jejari 4 km dari pusat kawah Bromo, merupakan daerah berbahayanya.


Agak ngeri apabila saya membayangkan andai terjatuh di lereng kaldera ini. Pasti terus ke kawah yang tidak nampak di mana dasarnya ini dan tidak mungkin mampu pula keluar darinya.

Lebih tidak terbayang bagaimana pula jika kita terjatuh ke lubang neraka. Na'uzubillahi min zaliq... Allahumma ajirna minan naar...

Sunday, June 11, 2017

Tangga di Bromo


Mula-mula nampak tangga ni... berpeluh juga. Wahhh... tingginya macam tangga Batu Caves. Tapi rupanya kurang 25 anak tangga berbanding Batu Caves.

Tahukah anda Gunung Bromo (2329m) merupakan gunung yang paling popular dan paling sering didaki di Indonesia? Ia tersenarai antara 10 perkara teratas yang wajib dilakukan di Jawa.

Tangga ini terletak di bahagian yang paling curam di gunung ini dan membawa para pengunjung terus ke puncak tebing kawah gunung berapi ini.  Terdapat 250 anak tangga yang terbahagi kepada dua bahagian - sebelah kiri untuk mendaki ke atas, manakala di sebelah kanan untuk yang menuruni gunung ini.

Saturday, May 20, 2017

Sempurnakan harimu

 Pemandangan dari Gunung Bromo

Sempurnanya hari
Terletak pada sempurnanya hati
Penuh kesyukuran
Atau penuh keluhan?

Mima Zohds
200517

Friday, May 19, 2017

Berkuda di Bromo

Kawasan parkir di Bromo
Perkhidmatan jeep di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru membawa kami ke 4 destinasi: Penanjakan, Bromo, Pasir Berbisik dan Savannah.

Jauh juga perjalanan ke kaki gunung
Namun demikian, di Bromo, jeep terpaksa menurunkan kami di kawasan padang pasir sebelum candi Hindu di kaki Gunung Bromo. Dari sini, pengunjung sama ada perlu berjalan kaki atau menaiki kuda dengan bayaran sebanyak IDR125000.

Pasar makanan dan barangan cenderahati di kaki Bromo

Bagi saya yang pertama kali mendaki menggunakan kuda, merecik juga peluh di dahi kerana gayat. Terasa tinggi di atas kuda dengan kaki tidak berpijak di tanah, acapkali saya terasa seperti hampir tergelongsor ke belakang sewaktu kuda dalam kedudukan mendaki.


Apa-apa pun, menaiki kuda memang menjimatkan tenaga kerana jarak dari parkir ke kaki gunung pun agak jauh, belum termasuk anak-anak tangga yang akan didaki ke kawah.


Inilah titik terakhir perjalanan berkuda dalam pendakian Gunung Bromo. Selepas pagar batu yang kelihatan dalam gambar, pengunjung perlu meneruskan pendakian dengan berjalan kaki kerana terdapat 250 anak tangga yang perlu didaki untuk sampai ke puncak gunung ini.


Wednesday, May 17, 2017

Mengopi di Penanjakan

Untuk melihat matahari terbit di Bromo, kami perlu memulakan pendakian pendek ke puncak Gunung Penanjakan seawal jam 3.30 pagi. Jeep tidak dapat membawa kami terus ke puncak kerana ramainya orang dan banyaknya jeep lain yang turut ke sini. Suhu pada waktu ini di gunung setinggi lebih 2700m dari aras laut amatlah rendah dan bagi seseorang yang tidak biasa dengan cuaca sejuk, pendakian agak mencabar kerana tubuh dan pernafasan seolah-olah hampir beku.

Kalau di Malaysia, frasa 'kat atas nanti ada kedai kopi' sering digunakan sebagai bahan lawak motivasi di kalangan para pendaki, kerana hakikatnya tiada sebarang kedai baik di sepanjang jalur pendakian mahupun di puncaknya.

Tetapi kalau mendaki di Indonesia, itulah bab yang seronoknya. Kalau dikatakan ada kedai kopi, memang betul-betul ada! 😅 Pelbagai jenis minuman panas dan gorengan boleh dinikmati di kedai-kedai kopi yang banyak di puncak gunung ini.
Dapatlah para pengunjung mengurangkan kesejukan sementara menanti matahari yang terbit sekitar jam 5 pagi.



Handle with care

My ride at the foot of Mount Bromo


Handle my heart with care
As it's not made of pure gold
Nor made of stone
It's just made of some fragile glass
Once broken, considered gone
So handle it with care.

Mima Zohds
170517

Bromo: Tip untuk fotografer


Selautan manusia berkumpul seawal jam 4 pagi di puncak Gunung Penanjakan ini untuk menantikan pemandangan matahari terbit di Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru. Matahari terbit sekitar jam 5.30 am.

Untuk solat subuh pun agak sukar mendapatkan tempat di celah-celah saf yang padat di ruang solat yang terhad, apatah lagi untuk mendapatkan spot yang paling bagus bagi menanti pemandangan matahari terbit ini di celah-celah semua pengunjung yang lain. Saya dan rakan-rakan semuanya terpecah dan terpisah dalam kekalutan ini dan bertemu semula selepas berakhirnya acara ini.

Satu tip untuk mendapatkan spot menarik adalah laburkan IDR10k kepada orang yang menawarkan 'tikar' (kertas tebal) untuk anda duduk sementara menunggu matahari terbit ini. Apabila saya enggan menyewanya dengan alasan sudah tiada tempat pun untuk membentangnya di mana saya boleh melihat pemandangan yang dinantikan dengan jelas akibat kepadatan pengunjung, dia membawa saya ke spot lain yang kurang orang tetapi tidak kalah pemandangannya... dan paling istimewa, tiba-tiba saya yang berada paling hadapan! 😊

Taman Nasional Bromo Tengger Semeru

Jenuh menunggu matahari naik untuk mendapatkan cahaya yang cukup sebelum dapat mengambil gambar ini. Gambar-gambar yang diambil melalui kamera Samsung A8 saya agak kabur jika diambil dalam gelap atau cahaya yang sedikit.

Dan setelah matahari betul-betul naik, inilah hasilnya - pemandangan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, yang dirakamkan daripada puncak Gunung Penanjakan pada ketinggian 2770m. Taman Nasional Bromo Tengger Semeru diisytiharkan sebagai taman nasional pada tahun 1982. Ia terletak di Jawa Timur,  Indonesia, di timur Kota Malang dan di tenggara Kota Surabaya.



Taman ini merupakan satu-satunya kawasan terpulihara di Indonesia yang memiliki lautan pasir, yang dinamakan Lautan Pasir Tengger (dilindungi sejak 1919), di mana terdapat juga sebuah kaldera tinggalan gunung berapi silam (Tengger) dari mana empat buah gunung berapi yang baru telah muncul. Luas kawasan yang unik ini adalah 5,250 hektar pada ketinggian 2,100m dari aras laut.

Taman ini turut menaungi gunung tertinggi di Pulau Jawa, iaitu Gunung Semeru (3,676 m - yang paling tinggi dalam gambar), empat buah tasik dan 50 batang sungai. Kawah yang kelihatan berasap itu adalah Gunung Bromo (2329m), dan yang kelihatan paling hadapan dan tegub berdiri adalah Gunung Batuk (2470m).

Jika anda ke Surabaya, adalah satu kerugian yang amat besar jika anda tidak mengunjungi taman nasional ini.