Sunday, May 08, 2016

Paragliding @ Paralayang

Apa yang saya pelajari tentang paragliding/paralayang dalam tempoh sehari bersama paragliders di Kuala Kubu Baru (walaupun saya tidak terbang):



1. Sama seperti memancing, sukan ini memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Sabar menunggu giliran, sabar menunggu angin yang datang dari arah yang tepat, juga sabar mendepani keadaan cuaca yang boleh berubah secara tiba-tiba.

Ada paragliders yang datang daripada Perak dan telah bersedia untuk terbang, tetapi terpaksa membungkus paralayangnya apabila hujan rintik mula turun secara tiba-tiba.

2. Tiada istilah datang pagi dan hendak pulang tengahari. Seluruh hari perlu diperuntukkan hanya untuk aktiviti ini.

Saya dan rakan-rakan bertolak daripada Cyberjaya sekitar jam 8.40 pagi dan tiba di KKB pada jam 11.00 pagi. Saya menunggu di puncak dengan ketinggian lebih kurang 1400m dengan harapan untuk terbang sejak waktu Zohor lagi. Namun, setelah 3 jam berada di puncak yang panas lagi kontang itu, akhirnya terpaksa turun dengan berjalan kaki selama hampir 1 jam.

3. Setiap paraglider perlu bersedia untuk "hiking". Ada antara yang saya temui, pernah mendaki Gunung Kinabalu dan Gunung Rinjani semata-mata untuk terjun bersama paralayang mereka daripada aras yang lebih tinggi untuk kepuasan maksima.

4. Setiap paraglider mempunyai kisah duka mereka. Jatuh tergolek perkara biasa, ada yang pernah terlanggar tembok batu, patah sana sini dan sebagainya.

Pendek kata, bukan mudah untuk terbang. Semua yang mudah, bermula dengan susah. Sama seperti kita saat mula belajar berjalan.

5. Bagi seorang freelancer seperti saya, sukan ini menawarkan salah satu opsyen bagi menghasilkan pendapatan. Bayangkan untuk membawa seorang penumpang di KKB, anda dibayar sebanyak RM250.

Namun begitu kos pelaburannya juga bukanlah murah. Untuk mendapatkan lesen, anda perlu melabur sebanyak RM1800 bagi menghadiri sesi latihan, dan sebanyak RM8000 - 11000 untuk membeli peralatan sukan paralayang ini.

Nah, menarik kan?