Monday, January 09, 2017

Hikayat Pantai Ngobaran, Jogja

Menelusuri jalan berturap daripada kawasan pura di pinggir tebing batu karang Pantai Ngobaran, saya ternampak sebuah perkampungan yang kelihatan damai nun di sebalik bukit.

Terdapat sebuah pantai yang jauh berbeza daripada yang saya lihat di awal ketibaan, dengan kawasan pasir halus yang landai bagaikan memanggil-manggil untuk saya terus melangkahkan kaki ke sana.



Saya turut tertarik dengan pemandangan bukit-bukit berbatu si sekeliling saya yang dihiasi oleh pokok-pokok pandan yang menjadikan apa yang saya lihat sangat unik di mata saya.


Tiba-tiba saya terlihat sesuatu yang menyebabkan saya dengan jiwa tergedik-gedik menukar haluan... agaknya apakah 'sesuatu' itu?

Bukan Rangga yang mengalihkan tumpuan saya daripada ke pantai landai berpasir halus di perkampungan Ngobaran... tetapi sebaris anak tangga yang kelihatan di kiri jalan menuju ke puncak bukit di pinggir tebing Pantai Ngobaran kerana ia menjanjikan saya peluang untuk ber'hiking' di sini.

Tiba di puncak, saya ternampak sebuah runtuhan rumah lama. Diceritakan orang terdapat sebuah kotak batu yang dikelilingi pagar kayu abu-abu di sini yang merupakan tempat Prabu Brawijaya V membakar diri.

Menurut cerita masyarakat setempat, Prabu Brawijaya V merupakan keturunan terakhir kerajaan Majapahit. Beliau melarikan diri dari istana bersama dua orang isterinya iaitu Bondang Surati (isteri pertama) dan Dewi Lowati (isteri kedua) kerana enggan diislamkan oleh puteranya Raden Fatah, Raja Demak I.

Pelarian tersebut akhirnya tiba di Pantai Ngobaran dan menemui jalan buntu. Akhirnya raja tersebut memutuskan untuk membakar diri, lantas bertanya kepada kedua-dua isterinya, “Wahai isteriku ! Siapa di antara kalian yang paling besar rasa cintanya kepadaku?”. Dewi Lowati menjawab, “ Cinta saya kepada tuan sebesar gunung”, manakala Bondan Surati pula menjawab, “Cinta saya kepada tuan sama seperti kuku hitam, setiap kali di potong pasti akan tumbuh kembali. Jika cinta itu hilang, maka cinta itu akan tumbuh semula."


Berdasarkan jawapan isteri-isterinya, Sang Prabu lantas menarik tangan Dewi Lowati lalu terjun ke dalam api yang membara sehingga keduanya mati terbakar. Mengapakah Dewi Lowati yang dipilih untuk mati bersamanya? Ini adalah kerana rasa cinta isterinya yang kedua ini lebih kecil dibandingkan dengan isterinya yang pertama.

Dari peristiwa inilah tempat ini dinamakan "Ngobaran" yang berasal dari kata "kobaran" yang bermaksud terbakar atau membakar diri.

Manakala, pemandangan yang dapat dilihat dari puncak ini - saya pasti anda setuju bahawa keindahannya tidak dapat dinafikan sama sekali. Pendakian yang berbaloi dan menjadikan pantai ini begitu istimewa dalam ingatan saya.





No comments: