Monday, October 30, 2017

Tentang Li River Cruise di Guilin


Beginilah rupanya jeti bot persiaran di Xingping. Sebenarnya, terdapat banyak jenis 'Li River Cruise'. Ada yang belayar dari Guilin ke Xingping. Ada yang boleh dinaiki dari Yading ke Xingping. Semuanya berharga ratusan yuan, berserta makan tengahari dan mengambil masa berjam-jam.


Bot yang kami naiki dari Xingping ini hanya memakan masa lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja, tanpa makan tengahari dan kami terus dibawa ke 'scenic spots' utama di Sungai Li ini. Harga tiketnya juga tidaklah sampai tiga angka untuk setiap seorang.

Daripada review yang saya baca di Internet, menaiki bot ini adalah lebih baik daripada menaiki rakit tradisional atas faktor keselamatan dan keselesaan seperti hendak ke tandas contohnya. Maka saya kira inilah pilihan terbaik.


Konduktor bot ini mampu berbahasa Inggeris walaupun tidak begitu fasih. Sedari awal menaiki bot saya merasakan seperti sudah terkena 'scammed'. Masakan tidak, sebaik bot memulakan perjalanan, kami diberitahu peraturan bot tidak membenarkan kami keluar ke sisi bot sewaktu bot sedang berjalan atas faktor keselamatan. Bagi seorang pemburu foto, ini tentulah amat mengecewakan. Tetapi bila difikirkan semula, pasti tidak seronok berada di dalam 'cruise' yg hanya boleh nampak punggung orang dari tempat duduk kita. Maka... baik, saya terima peraturan ini.


Peraturan kedua, penumpang hanya dibenarkan keluar apabila bot berhenti di spot-spot menarik untuk bergambar. Tetapi perlu bergilir-gilir untuk diambil gambar oleh jurugambar profesional, iaitu konduktor bot tadi. Tiada hal untuk anda beraksi di hadapan kamera sendiri atau rakan, tetapi perlu bersedia untuk gambar anda dibom oleh jurugambar aka konduktor bot tersebut seperti gambar saya di bawah.


Kesudahannya, di sepanjang perjalanan, melalui skrin TV, anda akan ditayangkan dengan gambar-gambar anda yang ohsem yang ýtelah dirakam di setiap lokasi di mana bot berhenti sebelumnya, membuatkan anda teruja untuk memiliki gambar-gambar tersebut. Dan tentunya ia tidak percuma. Setiap gambar dikenakan bayaran 25 yuan sekeping (dalam bentuk cetak, permintaan untuk format digital tidak dilayan). Untuk 5 keping ke atas, gambar-gambar anda akan dimasukkan ke dalam album yang diberi percuma.

Itulah bisnes namanya. Bijak mengambil kesempatan mencipta bisnes baru atas bisnes sedia ada. Sekiranya datang lagi ke sini, saya pasti pilih menaiki rakit berbanding menaiki cruise.


No comments: