Showing posts with label travel. Show all posts
Showing posts with label travel. Show all posts

Monday, October 30, 2017

Tentang Li River Cruise di Guilin


Beginilah rupanya jeti bot persiaran di Xingping. Sebenarnya, terdapat banyak jenis 'Li River Cruise'. Ada yang belayar dari Guilin ke Xingping. Ada yang boleh dinaiki dari Yading ke Xingping. Semuanya berharga ratusan yuan, berserta makan tengahari dan mengambil masa berjam-jam.


Bot yang kami naiki dari Xingping ini hanya memakan masa lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja, tanpa makan tengahari dan kami terus dibawa ke 'scenic spots' utama di Sungai Li ini. Harga tiketnya juga tidaklah sampai tiga angka untuk setiap seorang.

Daripada review yang saya baca di Internet, menaiki bot ini adalah lebih baik daripada menaiki rakit tradisional atas faktor keselamatan dan keselesaan seperti hendak ke tandas contohnya. Maka saya kira inilah pilihan terbaik.


Konduktor bot ini mampu berbahasa Inggeris walaupun tidak begitu fasih. Sedari awal menaiki bot saya merasakan seperti sudah terkena 'scammed'. Masakan tidak, sebaik bot memulakan perjalanan, kami diberitahu peraturan bot tidak membenarkan kami keluar ke sisi bot sewaktu bot sedang berjalan atas faktor keselamatan. Bagi seorang pemburu foto, ini tentulah amat mengecewakan. Tetapi bila difikirkan semula, pasti tidak seronok berada di dalam 'cruise' yg hanya boleh nampak punggung orang dari tempat duduk kita. Maka... baik, saya terima peraturan ini.


Peraturan kedua, penumpang hanya dibenarkan keluar apabila bot berhenti di spot-spot menarik untuk bergambar. Tetapi perlu bergilir-gilir untuk diambil gambar oleh jurugambar profesional, iaitu konduktor bot tadi. Tiada hal untuk anda beraksi di hadapan kamera sendiri atau rakan, tetapi perlu bersedia untuk gambar anda dibom oleh jurugambar aka konduktor bot tersebut seperti gambar saya di bawah.


Kesudahannya, di sepanjang perjalanan, melalui skrin TV, anda akan ditayangkan dengan gambar-gambar anda yang ohsem yang ýtelah dirakam di setiap lokasi di mana bot berhenti sebelumnya, membuatkan anda teruja untuk memiliki gambar-gambar tersebut. Dan tentunya ia tidak percuma. Setiap gambar dikenakan bayaran 25 yuan sekeping (dalam bentuk cetak, permintaan untuk format digital tidak dilayan). Untuk 5 keping ke atas, gambar-gambar anda akan dimasukkan ke dalam album yang diberi percuma.

Itulah bisnes namanya. Bijak mengambil kesempatan mencipta bisnes baru atas bisnes sedia ada. Sekiranya datang lagi ke sini, saya pasti pilih menaiki rakit berbanding menaiki cruise.


Sungai Li dan 20 yuan


Sungai Li merupakan destinasi utama kami di Guilin.

Disebut Lijiang dalam bahasa Cina, sungai ini terletak dalam wilayah Guangxi Zhuang di China. Ia mengalir sejauh 83 kilometer daripada  Guilin ke Yangshuo. Dengan menyusurinya, kita dapat menikmati pemandangan sungai yang dikelilingi gunung-ganang batu kapur yang sangat indah.


Pemandangan Sungai Li yang indah ini turut dirakam atas wang kertas China yang bernilai 20 yuan.

Saya akan ceritakan tentang 'Li River Cruise' dalam post seterusnya.




Sunday, October 29, 2017

Guilin, kota indah yang mengasyikkan


Kota Guilin terletak di timur laut Wilayah Guangxi Zhuang, di tebing barat Sungai Li dan bersempadan dengan wilayah Hunan di utaranya. Nama Guilin bererti "Forest of Sweet Osmanthus", bersempena pokok 'sweet osmanthus' yang juga dikenali sebagai 'sweet olive' atau 'tea olive' yang banyak terdapat di kota ini.


Kota ini terkenal dengan pemandangan indah bukit-bukau batu kapurnya dan merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di China. Kota yang berkeluasan 27,809 km2 ini mempunyai hampir 5 juta penduduk dengan kepadatan 170/km2.


Guilin memiliki sejarah yang amat panjang, bermula daripada penubuhannya sebagai sebuah perkampungan kecil pada tahun 314 sebelum Masihi lagi. Ia seterusnya berkembang sehingga menjadi pusat pentadbiran yang penting dalam dinasti Qin, Han, Tang dan Song, juga sebagai kubu kuat di zaman pemerintahan tentera Sun Yat Sen.


Kota ini dinamakan Guilin  pada tahun 1940, dan pada tahun 1981, ia disenaraikan sebagai salah satu daripada empat kotaraya bersama-sama Beijing, Hangzhou and Suzhou yang dinobatkan sebagai projek utama negara dalam pemuliharaan warisan budaya dan sejarahnya.


Friday, October 27, 2017

Kali Pahit yang menakjubkan

Saya dan rakan-rakan dibawa berkunjung ke Airterjun Kali Pahit selepas menuruni Gunung Ijen. Ia terletak antara Bondowoso dan Banyuwangi di Jawa Timur, Indonesia.


Kali pertama melihat airterjun ini, saya merasa hairan. Sangka saya ianya tercemar kerana airnya bukan sahaja kekuningan, malah terdapat banyak buih seumpama buih sabun. Namun rupa-rupanya ia begitu kerana kandungan sulfurnya yang tinggi, dengan punca airnya adalah dari Kawah Ijen.


Nama airterjun ini sendiri menimbulkan tandatanya. 'Kali' bererti sungai maka 'pahit' memberi gambaran bahawa air sungai ini rasanya pahit. Namun tidaklah pula saya berani meminum air sungai ini untuk mengesahkannya. 😅

Thursday, October 26, 2017

Ranau Backpacker's Hostel

Bagi rakan-rakan backpackers yang ingin ke Kinabalu atau Kundasang, selalunya mesti cari tempat tinggal di Kundasang, kan?

Ranau

Sebenarnya Ranau adalah tempat yang lebih 'convenient' kerana ia adalah bandar besar berbanding Kundasang, seumpama bandar Klang dan pekan Meru. Kedudukan keduanya juga tidak jauh antara satu sama lain. Pasaraya, kedai makan, bank dan pengangkutan awam lebih banyak di Ranau berbanding di Kundasang.


Sewaktu di Ranau, kami menginap di hostel ini. Oleh kerana kami tempah 'family room', kami diberi dua bilik, satu dengan 'double bed', manakala satu lagi dengan bunk bed dan keduanya mempunyai pintu penghubung di tengah-tengah yang apabila dibuka, bilik kami terasa lapang. Terdapat satu almari solek dalam bilik 'double bed' yang memudahkan saya menggunakan laptop. Keadaan dalam bilik amat bersih dan memuaskan. Tiada 'bed bugs' seperti di hotel backpacker yang kami sewa di KK pada malam-malam sebelumnya.


Hostel ini juga menyediakan kopi, teh, gula dan krimer, serta roti gardenia lengkap dengan jem dan mentega di ruang 'pantry'nya yang juga sangat bersih. Kalau dahaga atau lapar, buatlah seperti di rumah sendiri baik malam mahupun pagi. Anak-anak saya berulang 2-3 kali keluar bilik untuk buat kopi dan roti bakar sepanjang malam.

Satu bilik RM50 manakala satu lagi RM45, menjadikan kos keduanya RM95 semalam. Bilik airnya juga sangat bersih dengan sabun dan syampu botol besar disediakan. Cuma mungkin kurang selesa bagi penghuni perempuan, kerana ianya adalah 'shared bathrooms & toilets'. Saya agak bertuah kerana tidak terserempak dengan penghuni-penghuni lain sewaktu ke tandas dan ke bilik air.


Walaubagaimanapun, saya tetap beri 4 bintang kepada hostel ini dan tidak ragu-ragu untuk mencadangkannya kepada rakan-rakan backpackers sekelian yang mementingkan bajet dan di masa yang sama mahukan keselesaan.

Saturday, September 30, 2017

Tentang Ijen


Gunung Ijen (2443m) adalah gunung berapi aktif yang terletak di antara daerah Banyuwangi dan Bondowoso, di Jawa Timur, Indonesia. Kali terakhir meletus dalam tahun 1999, keistimewaan gunung ini adalah kawah berasidnya yang indah berwarna biru kehijauan.  

Tasik yang luasnya satu kilometer dan sedalam 200 meter ini diiktiraf sebagai tasik berasid tinggi yang terbesar di dunia. Ukuran pH air di pinggir kawah ini adalah 0.5, manakala di tengahnya 0.13 menunjukkan kadar kepekatan asid sulfurnya. Ia sangat berasid sehingga mampu mencairkan bukan sahaja pakaian, malah daging manusia juga. Oleh itu, sesiapa sahaja yang ke sini amat disarankan untuk sangat berhati-hati.




When in Surabaya, climb Ijen!

There are three reasons why you shouldn't miss climbing Ijen.

First, there's the famous blue fire (there are only two places in the world you can see it). Most people start climbing Ijen as early as 1 am. Why? 'Coz Ijen's blue fire can only be seen until 5am, so we need to reach the top before that. (Sorry, my Samsung phone cam couldn't capture the blue fire - in fact, it's no good in capturing anything in the dark at all 😢).

Second, once you've seen the blue flames, you can wait for the sunrise view which is as spectacular as any sunrises on any mountains. You can even get the glimpses of Bali Island as the sun rises.


Third, you'll get to see the spectacular crater of Ijen itself being unveiled as the sun brightens the area. As you can see in this photo, spectators were lining up along the mouth of the crater to enjoy the amazing finale as the sun rises higher.

Besides the blue flames, Ijen is famous for its sulphur mines. Seen in the next picture are the sulphur vents, where most of the sulphur miners are working at, and also where the blue fire can be seen between 2-5 am.


So what if you are not a mountain climber or not fit to climb a mountain? Nothing is impossible these days. With an extra IDR700k to 1M (based on negotiation), you can always get someone to take you up and down the mountain in a cart as in the following picture.


Now, what's stopping you?


Hikayat Madakaripura

Airterjun Madakaripura letaknya agak tersorok di Desa Sapih nun di hujung lembah di kaki banjaran pergunungan Tengger - tidak begitu jauh dari Gunung Bromo, dalam daerah Lombang. Ia dipercayai adalah lokasi terakhir pertapaan Gajah Mada, Panglima Kerajaan Majapahit yang tersohor di Tanah Jawa Timur.

Patung Gajah Mada di pintu masuk
ke trek airterjun. Untuk ke lokasi ini, kami menaiki gojek (motorsikal) selama lebih kurang 10 minit daripada kawasan gerai-gerai makannya.

Perjalanan ke Airterjun Madakaripura terasa agak menakjubkan, seolah-olah merentasi dunia Taman Jurassic, dengan pokok-pokok pakis gergasi di sepanjang trek. Kami dinasihatkan untuk tidak memakai kasut, cukup berselipar jepun sahaja (kesilapan besar kerana ternyata pacat berpesta di sini) dan memakai baju hujan, kerana basah adalah satu jaminan jika hendak ke lokasi airterjun tersebut.
Jambatan besi yang tergantung di tebing sungai ini menambahkan debar keterujaan kami. 

Setelah hampir 20 minit berjalan kaki, akhirnya airterjun yang dituju terlihat di depan mata. Airterjun ini dikatakan tertinggi di Pulau Jawa dan kedua tertinggi di Indonesia. Dapatkah anda bayangkan betapa terpukaunya kami saat itu? Masing-masing ternganga sambil mengeluarkan fon bimbit untuk merakam foto. 


Semakin kuat bunyi gemuruh air kedengaran bererti semakin hampir kami padanya, sehinggalah kami di hujani air yang terasa menyegarkan di sepanjang trek yang kami lalui. Sungguh kami tidak pasti sama ada kami berada di dalam hujan atau di bawah airterjun ketika itu. Trek tersebut berakhir di sebuah lembah berbentuk silinder di mana airnya terjun setinggi 200 meter dikepung oleh dinding-dinding batu berhias lumut hijau, yang sama aras ketinggiannya. Suasananya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, amat menakjubkan - yang hanya dapat dirasai apabila anda berada di sini.

Airterjun Madakaripura turut digelar airterjun abadi, kerana airnya tidak pernah berhenti menyirami 'hujan rahmat' buat sesiapa saja yang bertuah dapat berjalan di bawahnya (termasuklah kami 😅). 

Walaubagaimana pun, kami tidak begitu bertuah kerana tidak dapat pergi sehingga ke hujung trek untuk merakam keindahan keseluruhan airterjun ini. Kebetulan hari benar-benar hujan dan jurupandu arah kami bimbang banjir gadang akan terjadi. Sila google untuk gambar-gambar Madakaripura yang lebih hebat dan indah sebagaimana dirakam oleh instagrammer berikut.

Thursday, August 03, 2017

Pesan buat anakku

Mount Ijen's Trail

Anakku
Dalam perjalanan hidup
Biarpun lelah
Tiada erti mengalah
Teruslah melangkah
Cuma
Dengan pengalaman yang dilalui
Kita pilih laluan seterusnya dengan penuh hati-hati
Agar tiada lagi duri yang bisa menyakiti.

Mima Zohds
030817


Cemburu

Cemburu itu seperti api
Memakan hati menekan sanubari
Makin dipendam makin membara
Sudahnya kau hancur dibakar api menyala

Wahai muda, usah dilayan rasa curiga
Berdamailah dengan jiwa
Yakini doa yakini diri
Yakini takdir menyebelahi

Yang tenang, pasti menang!

Mima Zohds
030817

Pantai Lampuuk, Aceh

(Didedikasi untuk semua cik-cikpuan yang upload status bergambar: "ini suami saya, jangan ajak dia ke karaoke." 😅)



Friday, July 21, 2017

Penduduk di Bromo

Iswana, pemandu jeep
 kami di Bromo. 
Masyarakat yang tinggal di sekitar Gunung Bromo dipanggil orang Tengger. Dipercayai mereka adalah anak cucu keturunan kerajaan Majapahit.

Terdapat 30 kampung di sekitar kawasan kaldera Tengger. Kebanyakan mereka adalah peladang, tetapi sebahagian mereka adalah pemandu pelancong dan ada juga yang menyewakan kuda mereka kepada pelancong.

Mereka bertutur dalam bahasa Jawa klasik yang dipanggil Jawi Kuno, dan kebanyakannya mengamalkan agama Hindu Mahayana.

Penyewa kuda di Padang Savana, Bromo.

Padang rumput savana di Bromo

Tidak semua kawasan di Bromo dilitupi oleh pasir. Hanya beberapa kilometer di selatan Gunung Bromo, merentasi lautan pasir berbisiknya, terdapat kawasan Blok Savana yang dipenuhi rumput.


Laut Pasir Berbisik
Padang rumput savana

Pemandangan di sini amat berbeza daripada pemandangan di sekitar Gunung Bromo, namun tidak kalah indahnya. Kawasan yang bernama Lembah Jemplang ini turut digelar sebagai Bukit Teletubbies oleh penduduk tempatan. 

"Three wise monkeys" di Bukit Teletubbies😁
Ada rakan-rakan yang memberitahu bahawa mereka tidak ke sini ketika melawat Bromo. Bagi saya ini adalah satu kerugian bagi setiap pencinta alam kerana flora di sini amat indah.

Sebahagian daripada bunga-bunga rumput tinggi yang cantik. 










Di kawasan padang savana ini juga kami sempat mengisi perut yang kosong sejak awal pagi dengan bakso seorang peniaga muslimah. 


Monday, June 19, 2017

Jalur pendakian Gunung Bromo


Bagi rakan-rakan yang ingin mencuba mendaki gunung tetapi merasa ianya sesuatu yang sukar dan tidak mungkin dilakukan, saya cadangkan anda bermula dengan mendaki Gunung Bromo di Jawa Timur. 

Gambar ini menunjukkan jalur pendakian Gunung Bromo secara keseluruhan. Para pengunjung akan dibawa menaiki jeep sehingga ke sempadan yang dibenarkan di tengah-tengah lautan pasir, beberapa ratus meter sebelum tiba di candi Hindu yang kelihatan dalam gambar, di kaki gunung ini. 

Dari kawasan meletak jeep ini, pengunjung boleh memilih untuk menaiki kuda (dengan bayaran) atau berjalan kaki sahaja. Selepas melintasi candi, terdapat pasar menjual makanan dan cenderahati di tengah-tengah perjalanan sebelum anda mula mendaki. 

Sekiranya berkuda, anda terpaksa turun dan berjalan kaki bermula dari kawasan bertembok batu dalam gambar. Kuda dan pemandunya akan menunggu anda di sini sehingga anda turun semula. Anda perlu berjalan menuju ke tangga dan mendaki 250 anak tangganya untuk sampai ke puncak bibir kawah.

Pendakian ini sebenarnya amat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja walaupun anda tidak pernah memanjat gunung sebelum ini. Selamat mencuba! Anda pasti boleh! 

Tuesday, June 13, 2017

Mencari "thrill" di Puncak Bromo

Tebing kawah Bromo

Kawah Bromo amat luas. Jejarinya jika tidak silap sekitar 4 km. Tidak muat untuk merakamkan pemandangan keseluruhan mulut kawah dalam satu gambar. Gambar di atas hanyalah sepertujuh atau seperlapan daripada keseluruhan lingkaran tebing kawah, yang juga dipanggil kaldera.

Daripada gambar di atas juga, kelihatan puncak lingkaran tebing ini yang agak nipis, tetapi dapat dilihat juga dua bentuk tubuh yang halus di bahagian tertinggi di kaldera ini. Saat terlihat mereka, saya yang berada di "viewing point" berhampiran tangga di pinggir kawah, terus teruja dan membuat keputusan mahu ke sana juga. Maka berjalanlah saya ke sana.

Puncak tertinggi kaldera
Nah... dari dekat, taklah nampak nipis sangat kan tebing ni? Tapi sebenarnya 'trekking path'nya yang boleh dilalui hanya selebar dua hingga tiga kaki sahaja, dan kedudukannya yang tidak rata, malah menyendeng, agak menyukarkan pendakian. Apatah lagi dengan tanahnya yang berupa pasir debu volkano yang licin... sekiranya tapak kasut anda kurang cengkaman, usah dicuba laluan ini.

Bagi yang ada masalah gayat seperti saya lebihlah lagi cabarannya. Pandang kiri gaung, pandang kanan pun gaung. Yang terlintas cumalah andai tergelincir, biarlah jatuh ke kiri, bukan ke kanan. Dua-dua pun pasti mati tapi sekurang-kurangnya di kiri penghujungnya adalah lautan pasir, yang memungkinkan mayat saya ditemui. Di kanan tebingnya lebih curam dan pastilah saya akan terus jatuh ke kawah yang sangat dalam yang dasarnya tidak kelihatan dan tak mungkin ada sesiapa yang mampu menjejaki mayat saya.

Pendakian naik dan turun dari puncak kaldera ini ke 'viewing point' asal, mengingatkan saya tentang titian assirat. Sekiranya titian saya nanti selebar ini dan bukan senipis rambut dibelah tujuh pun, pastinya saya sudah amat bersyukur.

Gunung Batok, dan "viewing point" yang ramai orang adalah di tebing di hadapan gunung tersebut. 

Di sebalik kesukarannya, saya bersyukur melakukannya. Dari puncak tersebut pemandangan amatlah indah. Kelihatan Gunung Batok yang tersergam megah, juga lautan pasir dengan struktur yang indah mengkagumkan.

Lautan Pasir yang unik di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. 

Mendaki Bromo adalah pengalaman yang luar biasa. Tidak hairanlah ia disenaraikan di antara 10 perkara utama yang patut anda lakukan di Pulau Jawa!