Tebing kawah Bromo |
Kawah Bromo amat luas. Jejarinya jika tidak silap sekitar 4 km. Tidak muat untuk merakamkan pemandangan keseluruhan mulut kawah dalam satu gambar. Gambar di atas hanyalah sepertujuh atau seperlapan daripada keseluruhan lingkaran tebing kawah, yang juga dipanggil kaldera.
Daripada gambar di atas juga, kelihatan puncak lingkaran tebing ini yang agak nipis, tetapi dapat dilihat juga dua bentuk tubuh yang halus di bahagian tertinggi di kaldera ini. Saat terlihat mereka, saya yang berada di "viewing point" berhampiran tangga di pinggir kawah, terus teruja dan membuat keputusan mahu ke sana juga. Maka berjalanlah saya ke sana.
Puncak tertinggi kaldera |
Bagi yang ada masalah gayat seperti saya lebihlah lagi cabarannya. Pandang kiri gaung, pandang kanan pun gaung. Yang terlintas cumalah andai tergelincir, biarlah jatuh ke kiri, bukan ke kanan. Dua-dua pun pasti mati tapi sekurang-kurangnya di kiri penghujungnya adalah lautan pasir, yang memungkinkan mayat saya ditemui. Di kanan tebingnya lebih curam dan pastilah saya akan terus jatuh ke kawah yang sangat dalam yang dasarnya tidak kelihatan dan tak mungkin ada sesiapa yang mampu menjejaki mayat saya.
Pendakian naik dan turun dari puncak kaldera ini ke 'viewing point' asal, mengingatkan saya tentang titian assirat. Sekiranya titian saya nanti selebar ini dan bukan senipis rambut dibelah tujuh pun, pastinya saya sudah amat bersyukur.
Gunung Batok, dan "viewing point" yang ramai orang adalah di tebing di hadapan gunung tersebut. |
Di sebalik kesukarannya, saya bersyukur melakukannya. Dari puncak tersebut pemandangan amatlah indah. Kelihatan Gunung Batok yang tersergam megah, juga lautan pasir dengan struktur yang indah mengkagumkan.
Lautan Pasir yang unik di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. |
Mendaki Bromo adalah pengalaman yang luar biasa. Tidak hairanlah ia disenaraikan di antara 10 perkara utama yang patut anda lakukan di Pulau Jawa!
No comments:
Post a Comment