Saturday, September 30, 2017

Hikayat Madakaripura

Airterjun Madakaripura letaknya agak tersorok di Desa Sapih nun di hujung lembah di kaki banjaran pergunungan Tengger - tidak begitu jauh dari Gunung Bromo, dalam daerah Lombang. Ia dipercayai adalah lokasi terakhir pertapaan Gajah Mada, Panglima Kerajaan Majapahit yang tersohor di Tanah Jawa Timur.

Patung Gajah Mada di pintu masuk
ke trek airterjun. Untuk ke lokasi ini, kami menaiki gojek (motorsikal) selama lebih kurang 10 minit daripada kawasan gerai-gerai makannya.

Perjalanan ke Airterjun Madakaripura terasa agak menakjubkan, seolah-olah merentasi dunia Taman Jurassic, dengan pokok-pokok pakis gergasi di sepanjang trek. Kami dinasihatkan untuk tidak memakai kasut, cukup berselipar jepun sahaja (kesilapan besar kerana ternyata pacat berpesta di sini) dan memakai baju hujan, kerana basah adalah satu jaminan jika hendak ke lokasi airterjun tersebut.
Jambatan besi yang tergantung di tebing sungai ini menambahkan debar keterujaan kami. 

Setelah hampir 20 minit berjalan kaki, akhirnya airterjun yang dituju terlihat di depan mata. Airterjun ini dikatakan tertinggi di Pulau Jawa dan kedua tertinggi di Indonesia. Dapatkah anda bayangkan betapa terpukaunya kami saat itu? Masing-masing ternganga sambil mengeluarkan fon bimbit untuk merakam foto. 


Semakin kuat bunyi gemuruh air kedengaran bererti semakin hampir kami padanya, sehinggalah kami di hujani air yang terasa menyegarkan di sepanjang trek yang kami lalui. Sungguh kami tidak pasti sama ada kami berada di dalam hujan atau di bawah airterjun ketika itu. Trek tersebut berakhir di sebuah lembah berbentuk silinder di mana airnya terjun setinggi 200 meter dikepung oleh dinding-dinding batu berhias lumut hijau, yang sama aras ketinggiannya. Suasananya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, amat menakjubkan - yang hanya dapat dirasai apabila anda berada di sini.

Airterjun Madakaripura turut digelar airterjun abadi, kerana airnya tidak pernah berhenti menyirami 'hujan rahmat' buat sesiapa saja yang bertuah dapat berjalan di bawahnya (termasuklah kami 😅). 

Walaubagaimana pun, kami tidak begitu bertuah kerana tidak dapat pergi sehingga ke hujung trek untuk merakam keindahan keseluruhan airterjun ini. Kebetulan hari benar-benar hujan dan jurupandu arah kami bimbang banjir gadang akan terjadi. Sila google untuk gambar-gambar Madakaripura yang lebih hebat dan indah sebagaimana dirakam oleh instagrammer berikut.

No comments: