Jenuh menunggu matahari naik untuk mendapatkan cahaya yang cukup sebelum dapat mengambil gambar ini. Gambar-gambar yang diambil melalui kamera Samsung A8 saya agak kabur jika diambil dalam gelap atau cahaya yang sedikit.
Dan setelah matahari betul-betul naik, inilah hasilnya - pemandangan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, yang dirakamkan daripada puncak Gunung Penanjakan pada ketinggian 2770m. Taman Nasional Bromo Tengger Semeru diisytiharkan sebagai taman nasional pada tahun 1982. Ia terletak di Jawa Timur, Indonesia, di timur Kota Malang dan di tenggara Kota Surabaya.
Taman ini merupakan satu-satunya kawasan terpulihara di Indonesia yang memiliki lautan pasir, yang dinamakan Lautan Pasir Tengger (dilindungi sejak 1919), di mana terdapat juga sebuah kaldera tinggalan gunung berapi silam (Tengger) dari mana empat buah gunung berapi yang baru telah muncul. Luas kawasan yang unik ini adalah 5,250 hektar pada ketinggian 2,100m dari aras laut.
Taman ini turut menaungi gunung tertinggi di Pulau Jawa, iaitu Gunung Semeru (3,676 m - yang paling tinggi dalam gambar), empat buah tasik dan 50 batang sungai. Kawah yang kelihatan berasap itu adalah Gunung Bromo (2329m), dan yang kelihatan paling hadapan dan tegub berdiri adalah Gunung Batuk (2470m).
Jika anda ke Surabaya, adalah satu kerugian yang amat besar jika anda tidak mengunjungi taman nasional ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment