Saturday, May 20, 2017

Sempurnakan harimu

 Pemandangan dari Gunung Bromo

Sempurnanya hari
Terletak pada sempurnanya hati
Penuh kesyukuran
Atau penuh keluhan?

Mima Zohds
200517

Friday, May 19, 2017

Berkuda di Bromo

Kawasan parkir di Bromo
Perkhidmatan jeep di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru membawa kami ke 4 destinasi: Penanjakan, Bromo, Pasir Berbisik dan Savannah.

Jauh juga perjalanan ke kaki gunung
Namun demikian, di Bromo, jeep terpaksa menurunkan kami di kawasan padang pasir sebelum candi Hindu di kaki Gunung Bromo. Dari sini, pengunjung sama ada perlu berjalan kaki atau menaiki kuda dengan bayaran sebanyak IDR125000.

Pasar makanan dan barangan cenderahati di kaki Bromo

Bagi saya yang pertama kali mendaki menggunakan kuda, merecik juga peluh di dahi kerana gayat. Terasa tinggi di atas kuda dengan kaki tidak berpijak di tanah, acapkali saya terasa seperti hampir tergelongsor ke belakang sewaktu kuda dalam kedudukan mendaki.


Apa-apa pun, menaiki kuda memang menjimatkan tenaga kerana jarak dari parkir ke kaki gunung pun agak jauh, belum termasuk anak-anak tangga yang akan didaki ke kawah.


Inilah titik terakhir perjalanan berkuda dalam pendakian Gunung Bromo. Selepas pagar batu yang kelihatan dalam gambar, pengunjung perlu meneruskan pendakian dengan berjalan kaki kerana terdapat 250 anak tangga yang perlu didaki untuk sampai ke puncak gunung ini.


Wednesday, May 17, 2017

Mengopi di Penanjakan

Untuk melihat matahari terbit di Bromo, kami perlu memulakan pendakian pendek ke puncak Gunung Penanjakan seawal jam 3.30 pagi. Jeep tidak dapat membawa kami terus ke puncak kerana ramainya orang dan banyaknya jeep lain yang turut ke sini. Suhu pada waktu ini di gunung setinggi lebih 2700m dari aras laut amatlah rendah dan bagi seseorang yang tidak biasa dengan cuaca sejuk, pendakian agak mencabar kerana tubuh dan pernafasan seolah-olah hampir beku.

Kalau di Malaysia, frasa 'kat atas nanti ada kedai kopi' sering digunakan sebagai bahan lawak motivasi di kalangan para pendaki, kerana hakikatnya tiada sebarang kedai baik di sepanjang jalur pendakian mahupun di puncaknya.

Tetapi kalau mendaki di Indonesia, itulah bab yang seronoknya. Kalau dikatakan ada kedai kopi, memang betul-betul ada! 😅 Pelbagai jenis minuman panas dan gorengan boleh dinikmati di kedai-kedai kopi yang banyak di puncak gunung ini.
Dapatlah para pengunjung mengurangkan kesejukan sementara menanti matahari yang terbit sekitar jam 5 pagi.



Handle with care

My ride at the foot of Mount Bromo


Handle my heart with care
As it's not made of pure gold
Nor made of stone
It's just made of some fragile glass
Once broken, considered gone
So handle it with care.

Mima Zohds
170517

Bromo: Tip untuk fotografer


Selautan manusia berkumpul seawal jam 4 pagi di puncak Gunung Penanjakan ini untuk menantikan pemandangan matahari terbit di Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru. Matahari terbit sekitar jam 5.30 am.

Untuk solat subuh pun agak sukar mendapatkan tempat di celah-celah saf yang padat di ruang solat yang terhad, apatah lagi untuk mendapatkan spot yang paling bagus bagi menanti pemandangan matahari terbit ini di celah-celah semua pengunjung yang lain. Saya dan rakan-rakan semuanya terpecah dan terpisah dalam kekalutan ini dan bertemu semula selepas berakhirnya acara ini.

Satu tip untuk mendapatkan spot menarik adalah laburkan IDR10k kepada orang yang menawarkan 'tikar' (kertas tebal) untuk anda duduk sementara menunggu matahari terbit ini. Apabila saya enggan menyewanya dengan alasan sudah tiada tempat pun untuk membentangnya di mana saya boleh melihat pemandangan yang dinantikan dengan jelas akibat kepadatan pengunjung, dia membawa saya ke spot lain yang kurang orang tetapi tidak kalah pemandangannya... dan paling istimewa, tiba-tiba saya yang berada paling hadapan! 😊

Taman Nasional Bromo Tengger Semeru

Jenuh menunggu matahari naik untuk mendapatkan cahaya yang cukup sebelum dapat mengambil gambar ini. Gambar-gambar yang diambil melalui kamera Samsung A8 saya agak kabur jika diambil dalam gelap atau cahaya yang sedikit.

Dan setelah matahari betul-betul naik, inilah hasilnya - pemandangan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, yang dirakamkan daripada puncak Gunung Penanjakan pada ketinggian 2770m. Taman Nasional Bromo Tengger Semeru diisytiharkan sebagai taman nasional pada tahun 1982. Ia terletak di Jawa Timur,  Indonesia, di timur Kota Malang dan di tenggara Kota Surabaya.



Taman ini merupakan satu-satunya kawasan terpulihara di Indonesia yang memiliki lautan pasir, yang dinamakan Lautan Pasir Tengger (dilindungi sejak 1919), di mana terdapat juga sebuah kaldera tinggalan gunung berapi silam (Tengger) dari mana empat buah gunung berapi yang baru telah muncul. Luas kawasan yang unik ini adalah 5,250 hektar pada ketinggian 2,100m dari aras laut.

Taman ini turut menaungi gunung tertinggi di Pulau Jawa, iaitu Gunung Semeru (3,676 m - yang paling tinggi dalam gambar), empat buah tasik dan 50 batang sungai. Kawah yang kelihatan berasap itu adalah Gunung Bromo (2329m), dan yang kelihatan paling hadapan dan tegub berdiri adalah Gunung Batuk (2470m).

Jika anda ke Surabaya, adalah satu kerugian yang amat besar jika anda tidak mengunjungi taman nasional ini.

Tuesday, May 16, 2017

HENTIAN INI

Roda-roda
Tidak perlu sentiasa berputar
Mencari sasar
Ada kalanya perlu berhenti
Menghilang lelah
Menikmati indah hidup ini

Mima Zohds
160517

SELAMAT HARI GURU!

Taman Nasional Bromo Tengger Semeru

Sunday, May 14, 2017

SETIAP HUJUNG ADA PASTI


Sunrise Gunung Penanjakan 

Di setiap penghujung malam
Ada matahari yang menanti terbit
Di setiap penghujung kegelapan
Ada sinar yang menanti terang
Demikianlah di setiap penghujung kesulitan
Allah janjikan ada kemudahan yang akan datang
Maka di setiap penghujung kesabaran
Tentunya ada ganjaran untuk kita
Tidak di dunia, pasti di akhirat.

Bertabahlah duhai hati
Sesungguhnya janji Allah itu pasti.

Mima Zohds
140517

SELAMAT HARI IBU, Alfatihah buat mamaku.